.::tEmAn HiDuP kEtIkA bElAjAr::.
Dengan nama Allah yang menciptakan manusia itu secara berpasang-pasangan. Selawat dan doa dipanjatkan buat Muhammad bin Abdullah insan yang kita sedang pelajari dan amalkan hadis-hadisnya. Bergelar sebagai pelajar tahun akhir ini, ada 1 soalan yang sering kali diterjah pada saya.
Bila nak kahwin?
Kalau ada yang lamar itu , kahwin je lah. Tak payah tunggu sampai habis belajar. Bercakap untuk berkahwin memang mudah tapi adakah diri sudah benar-benar bersedia untuk menjalankan tanggungjawab.
Jika kalian menyingkap kisah isteri Imran yang disebut di dalam Al-Quran, itulah contoh isteri dan ibu yang terbaik dari Al-Quran. Semangat isteri Imran yang disebutkan didalam Al-Quran itu wajar dijadikan idola, panduan dan ikutan semua wanita akhir zaman.
"(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata "Ya tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, apa (janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi kepadamu, maka terimalah nazar dariku. Sungguh engkaulah maha mendengar, maha mengetahui(35) Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Ya tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan" Padahal Allah lebih tau apa yang dia lahirkan, dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindunganMu untuknya dan anak cucunya dari syaitan yang terkutuk(36)"
Lihatlah bagaimana hebatnya isteri Imran, seorang wanita yang sangat suci sengaja diceritakan di dalam al-Quran telah bernazar kepada Allah untuk mengorbankan atau menginfaqkan anaknya yang masih dalam kandungannya di jalan Allah. Dia dengan tulus sucinya benar-benar menyerahkan masa hadapan anaknya supaya berjihad mengabdikan diri padaNya.
Secara fitrahnya, pastilah ibu yang telah bersusah payah mengandungkan anaknya ke hulu hilir selama 9 bulan mengharapkan anaknya kelak berbakti kepada dirinya sekurang-kurangnya. Namun ibu Maryam ikhlas, beliau berniat melahirkan anak untuk dikorbankan sebagai seorang syahid di jalanNya. Benar-benar hebat dan suci, inilah semangat yang kita inginkan. Dari isteri Imran lahirlah Maryam, antara wanita paling hebat dalam sejarah. Darinya pula lahirlah nabi Isa a.s, utusan Allah yang suci, seorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah semata2.
Kita mengharapkan anak yang soleh dan musleh hasil perkahwinan yang dibina. Persoalannya adakah kita sudah bersedia menjadi ibu seperti isteri Imran dan Maryam?
Bimbang tak mampu melahirkan anak-anak umat nabi Muhammad yang terbaik. Bimbang tak mampu melahirkan anak-anak yang berjihad mengabdikan diri di jalanNya.
"Ya Allah, kurniakanlah kami anak dan keturunan yang soleh sebagai penyejuk mata"
Pra Perkahwinan
Buat teman-teman, anggaplah kehidupan harian kita bersama teman-teman serumah kini sebagai pra-perkahwinan, latihan sebelum benar-benar memikul tanggungjawab yang asli.
Latih diri untuk sentiasa bermanis muka dengan teman-teman walau sepenat mana kita.
Latih diri untuk menjaga rahsia dan cerita teman-teman dan cuba menyelesaikan masalah sesama sendiri.
Latih diri untuk sanggup berkorban, banyak bersabar dan tidak banyak berkira sesama teman-teman.
Untuk syabab, sekiranya kalian telah benar-benar mampu dan bersedia, bernikahlah. Pilihlah jodoh yang terbaik yang diberikan Allah untuk kalian. Terima seadanya. Utamakan diri kalian dalam soal memilih jodoh yang terbaik.